Nota Penting!
Kami menggunakan kuki untuk memastikan anda mendapat pengalaman terbaik di laman web kami.
Dengan mengklik ‘Setuju,’ anda menerima penggunaan kuki oleh kami seperti yang digariskan dalam dasar kuki
Ketika pasaran menuju minggu kedua Julai, gelombang perkembangan utama sedang membentuk sentimen pelabur. Pasaran buruh AS terus mengatasi jangkaan, dengan pertumbuhan pekerjaan yang lebih kukuh daripada ramalan menunjukkan daya tahan walaupun terdapat tekanan yang tersembunyi. Sementara itu, sektor perkhidmatan telah kembali ke wilayah pengembangan, namun peningkatan kos dan kebimbangan berkaitan tarif terus menjejaskan keyakinan.
Pasaran ekuiti mencerminkan latar yang bercampur ini, dengan S&P 500 melonjak lebih 30% daripada paras terendah April, meskipun isyarat momentum menunjukkan kewajaran untuk lebih berhati-hati dalam jangka terdekat. Di peringkat global, ketegangan perdagangan terus memuncak apabila Presiden Trump meneruskan rancangan mengenakan tarif baharu sehingga 70%, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap rundingan dengan rakan kongsi utama hanya beberapa hari sebelum tarikh akhir 9 Julai.
Ekonomi AS menambah 147,000 pekerjaan pada Jun, melebihi jangkaan ahli ekonomi dan menunjukkan daya tahan berterusan dalam pasaran buruh. Sebahagian besar pertambahan pekerjaan datang daripada kerajaan negeri dan sektor penjagaan kesihatan, manakala kadar pengangguran kekal stabil pada 4.1%, hampir tidak berubah berbanding bulan-bulan sebelumnya. Pendidikan negeri dan tempatan menjadi penyumbang utama kepada pengambilan pekerja sektor awam, sementara kerajaan persekutuan terus mengurangkan jumlah pekerjaan.
Pekerjaan dalam sektor penjagaan kesihatan meningkat sebanyak 39,000, dengan pertumbuhan ketara dicatatkan di hospital dan kemudahan jagaan kejururawatan. Sementara itu, kebanyakan industri utama lain—termasuk pembuatan, pembinaan dan runcit—menunjukkan sedikit atau tiada perubahan dari segi pengambilan pekerja.
Gaji meningkat sedikit, dengan purata pendapatan setiap jam naik sebanyak $0.08 kepada $36.30, iaitu peningkatan 3.7% berbanding tahun lalu. Purata minggu bekerja menjadi lebih singkat sedikit, mencadangkan bahawa sesetengah majikan mungkin sedang mengurangkan waktu bekerja.
Namun begitu, bilangan penganggur jangka panjang dan pekerja yang berputus asa turut meningkat, menandakan wujudnya cabaran asas bagi sesetengah kumpulan meskipun angka utama menunjukkan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan.
Sektor perkhidmatan AS kembali mencatatkan pertumbuhan pada Jun selepas mengalami penguncupan selama sebulan, menurut Laporan Perkhidmatan ISM terkini. PMI Perkhidmatan meningkat kepada 50.8, sedikit melepasi paras 50 yang memisahkan pertumbuhan daripada penguncupan. Ini menunjukkan sektor tersebut sedang berkembang semula, walaupun pada kadar yang sederhana.
Aktiviti perniagaan dan pesanan baharu masing-masing mencatatkan peningkatan pada Jun, menunjukkan tanda-tanda permintaan yang kembali pulih. Namun begitu, pekerjaan dalam sektor tersebut kembali menguncup, menandakan syarikat-syarikat mungkin masih berhati-hati dalam pengambilan pekerja. Harga kekal tinggi, dengan tekanan inflasi yang berterusan ,khususnya akibat kebimbangan berpanjangan berkaitan tarif.
Walaupun keadaan keseluruhan menunjukkan pertumbuhan yang perlahan namun stabil, banyak perniagaan masih tidak pasti tentang prospek ekonomi, dengan sesetengah pihak menyatakan peningkatan kos dan ketegangan geopolitik sebagai risiko utama.
Sejak mencecah paras terendah 4,800.73 pada 7 April, S&P 500 telah mencatatkan rali yang mengagumkan melebihi 30% (dari palung ke puncak), disokong oleh penembusan teknikal yang disahkan serta sentimen pasaran yang semakin positif. Pembentukan paras rendah yang lebih tinggi pada 5,100.90, diikuti oleh pergerakan tegas melepasi paras tinggi sebelumnya 5,492.67, telah mengesahkan corak ‘bottom failure swing’—sekali gus menandakan berakhirnya fasa pembetulan sebelum ini.
Indeks kini didagangkan jauh di atas kedua-dua purata bergerak eksponen (EMA) 20 dan 50 tempoh, dengan kehadiran Palang Emas mengukuhkan aliran kenaikan semasa. Penunjuk momentum kekal menyokong: Pengayun Momentum terus berada di atas paras 100, manakala Indeks Kekuatan Relatif (RSI) kekal kukuh melepasi ambang 50—kedua-duanya sejajar dengan tekanan belian yang berterusan.
Namun, tanda-tanda awal keletihan mula kelihatan. Perbezaan menurun antara harga dan Pengayun Momentum, digabungkan dengan bacaan RSI yang tinggi, menunjukkan bahawa momentum kenaikan mungkin mula melemah. Keadaan ini wajar diberi perhatian dengan tahap berhati-hati dalam jangka terdekat.
Penembusan yang disahkan melepasi paras rintangan utama pada 6,285.66 akan mengesahkan momentum kenaikan yang berterusan serta membuka laluan kepada keuntungan seterusnya. Sekiranya itu berlaku, sasaran kenaikan berikutnya berada pada paras 6,330.30, 6,490.74 dan 6,589.99.
Pada bahagian bawah, sebarang penarikan balik mungkin menemui sokongan awal pada 6,070.71. Kelemahan selanjutnya boleh mendedahkan zon sokongan lebih rendah pada 5,910.27 dan 5,700.35, yang mungkin menarik minat belian semula.
Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa pentadbirannya akan mula menghantar surat kepada rakan perdagangan utama AS pada hari Jumaat, bagi menggariskan tarif unilateral baharu yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Ogos. Kadar tarif yang dicadangkan akan bermula dari 10% sehingga setinggi 70%, bergantung kepada negara dan mungkin juga jenis barangan yang terlibat.
Surat-surat tersebut merupakan sebahagian daripada desakan Trump untuk apa yang disebutnya sebagai “tarif timbal balik,” yang bertujuan menekan negara-negara agar mencapai perjanjian perdagangan dengan AS sebelum tarikh akhir 9 Julai. Setakat ini, pentadbiran beliau telah mencapai perjanjian dengan UK dan Vietnam, manakala gencatan senjata sementara dengan China masih berkuat kuasa. Namun, rakan kongsi utama lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah masih berada dalam fasa rundingan.
Trump menyatakan bahawa wang hasil tarif akan mula mengalir ke AS pada bulan Ogos, walaupun ahli ekonomi menegaskan bahawa pengimport — dan akhirnya pengguna — lazimnya yang menanggung kos tersebut. Para pelabur memberikan reaksi positif terhadap berita kemajuan dengan Vietnam, namun tahap ketidakpastian kekal tinggi memandangkan banyak perjanjian masih dalam proses rundingan.
Ketika data ekonomi terus masuk dan risiko dasar semakin meningkat, pasaran berdepan gabungan antara optimisme dan ketidakpastian. Pertumbuhan pekerjaan AS yang kukuh serta pemulihan dalam sektor perkhidmatan menunjukkan bahawa ekonomi masih berada pada landasan yang stabil, walaupun tanda-tanda tekanan — seperti peningkatan pengangguran jangka panjang dan sikap berhati-hati dalam pengambilan pekerja — tidak boleh diabaikan. Pasaran ekuiti sedang menunggang rali yang kuat, namun penunjuk teknikal mula memberikan amaran awal mengenai potensi keletihan. Dalam masa yang sama, rancangan tarif agresif oleh pentadbiran Trump telah meningkatkan risiko terhadap perdagangan global, dengan tarikh akhir utama semakin menghampiri. Para pelabur mungkin mempunyai sebab untuk kekal optimis, namun hala tuju ke hadapan jauh daripada jelas.